Saturday, May 16, 2009

Profesion perguruan setanding peranan ulama

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

PROFESION perguruan adalah tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi yang membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Tanpa menafikan peranan pendidik dalam disiplin ilmu lain, bidang perguruan seharusnya terus dipandang tinggi masyarakat.

Sesungguhnya guru memainkan peranan besar mencorakkan pemikiran, budaya dan peradaban generasi akan datang. Jika guru diperlekeh oleh masyarakat, mana mungkin peranan mereka dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.


Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 2)

Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus’ab ibn ‘Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu.

Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan. Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata: “Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa.”

Sebenarnya pendidik boleh dikategorikan sebagai ulama dalam konteks kepakaran masing-masing. Justeru, dapat dilihat ulama silam amat mementingkan tatasusila dan adab yang perlu dijaga penuntut ilmu apabila bermuamalat dengan gurunya.

Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Imam Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya ‘Ulum ad-Din: “Apapun yang diterangkan oleh guru ketika pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut).”

Bukanlah maksud kata-kata itu bahawa segala yang dicurahkan guru, walaupun ia mungkin ada kesilapan perlu diterima bulat-bulat, tetapi apa yang cuba disampaikan adalah betapa perlunya bagi penuntut untuk sentiasa meletakkan martabat guru pada tempat yang selayaknya.

Percanggahan pendapat harus ditangani dengan bijak supaya hubungan antara penuntut dengan gurunya akan terus terpelihara dan dijauhkan daripada menjatuhkan air muka guru di khalayak ramai.

Kebelakangan ini, pelbagai berita dilaporkan yang boleh dikira sebagai cuba merendahkan martabat guru. Berita guru dikasari murid, diheret ke mahkamah, guru dera pelajar, jika tidak diselidiki kesahihannya dengan teliti boleh menyebabkan pelbagai persepsi buruk dilontarkan kepada guru dan pendidik.

Perbezaan ketara dapat diperhatikan apabila guru dipandang tinggi oleh anggota masyarakat satu ketika dulu.

Ibu bapa akan menyerahkan amanah menjaga dan mendidik anak kepada guru dengan rasa ikhlas dan penuh kepercayaan.

Sebaliknya situasi masa kini, guru semacam perlu berjaga-jaga supaya tindak tanduknya tidak mengundang sebarang masalah, walhal secara lazimnya mereka melakukan setiap perkara hanya dengan tujuan untuk melihat anak didiknya terus cemerlang dan berjaya.

Dalam konteks lain pula, guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan.

Sempena sambutan Hari Guru, hari ini, marilah bersama kita mengenang jasa guru dan pendidik yang sudah banyak membantu agama, bangsa dan negara dalam melahirkan ummah terbaik dan dipandang tinggi.

Ucapan terima kasih seharusnya ditujukan khas buat guru yang banyak berkorban masa, tenaga dan idea demi melihat anak didiknya terus berjaya, bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Hal ini bertepatan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis riwayat Bukhari)

Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)



Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia

di petik dari jaringan:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20090515230512/Article

Monday, May 11, 2009

Adab-Adab Makan

1- Mulakan dengan Bismillah

وعن عائشة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا أكل أحدكم فليذكر اسم الله تعالى، فإن نسي أن يذكر اسم الله تعالى في أوله، فليقل: بسم الله أوله وآخره.(رواه أبو داود، والترمذي، وقال: حديث حسن صحيح)

Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, " Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah'). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwaluhu wa akhirahu' (HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)

2- Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

وعن سلمة بن الأكوع رضي الله عنه أن رجلاً أكل عند رسول الله صلى الله عليه وسلم بشماله، فقال: كل بيمينك قال: لا أستطيع قال: لا استطعت ! ما منعه إلا الكبر ! فما رفعها إلى فيه. (رواه مسلم)

Dari Salamah bin al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian, tidak dapat diangkat tangannya ke mulut. (HR Muslim)

عن جابرٍ رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تأكلوا بالشمال، فإن الشيطان يأكل ويشرب بشماله (رواه مسلم)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya. (HR Muslim)

3- Makan yang berhampiran.

عن عمر بن أبي سلمة رضي الله عنهما قال: كنت غلاماً في حجر رسول الله صلى الله عليه وسلم، وكانت يدي تطيش في الصحفة، فقال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا غلام سم الله تعالى، وكل بيمينك، وكل مما يليك (متفقٌ عليه)

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu. (HR Bukhari dan Muslim)

4- Galakan guna tiga jari

عن كعب بن مالكٍ رضي الله عنه قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكل بثلاث أصابع... (رواه مسلم)

Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (HR Muslim)

5- Larangan mencela makanan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: ما عاب رسول الله صلى الله عليه وسلم طعاماً قط، إن اشتهاه أكله، وإن كرهه تركه. (متفقٌ عليه)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (HR Bukhari dan Muslim)

6- Tidak bersandar ketika makan

عن أبي جحيفة وهب بن عبد الله رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا آكل متكئاً (رواه البخاري)

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah s.a.w bersabda, "Aku tidak makan sambil bersandar" (HR Bukhari)

7- Kutip makanan yang terjatuh.

وعن جابرٍ رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إذا وقعت لقمة أحدكم، فليأخذها فليمط ما كان بها من أذىً ولياكلها، ولا يدعها للشيطان، ولا يمسح يده بالمنديل حتى يلعق أصابعه فإنه لا يدري في أي طعامه البركة(رواه مسلم)

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan" (HR Muslim)

8- Mula makan dari tepi (pinggir)

وعن ابن عباس رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: البركة تنزل وسط الطعام، فكلوا من حافتيه ولا تأكلوا من وسطه (رواه أبو داود، والترمذي، وقال: حديثٌ حسنٌ صحيحٌ)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah" (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)

9- Jilat jari setelah selesai

عن ابن عباسٍ رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا أكل أحدكم طعاماً، فلا يمسح أصابعه حتى يلعقها أو يلعقها. (متفقٌ عليه)

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)" (HR Bukhari dan Muslim)

10- Doa setelah selesai makan

عن أبي أمامة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رفع مائدته قال: الحمد لله كثيراً طيباً مباركاً فيه، غير مكفيٍ ولا مودعٍ، ولا مستغنىً عنه ربنا

(رواه البخاري).

Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' (HR Bukhari)

وعن معاذ بن أنسٍ رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من أكل طعاماً فقال: الحمد لله الذي أطعمني هذا، ورزقنيه من غير حولٍ مني ولا قوةٍ، غفر له ما تقدم من ذنبه (رواه أبو داود، والترمذي، وقال: حديثٌ حسنٌ)

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (HR Tirmidzi)

(Rujukan: Riyadhus Solihin – Kitab Adab-adab Makan)

dipetik dari Alfaisal - http://demipena.com/2007/01/adab-adab-makan.html

Friday, May 8, 2009

Aku takut aku kufur....

Aku takut kalau aku kufur...

klu aku x bersyukur...

kalau aku lupa pada-nya

kalau aku sibuk dengan hal2 dunia..

aku lupa pada akhirat yang pasti...

kalau aku lupa yang Allah itu ada untukku...

disetiap saat andai aku memerlukannya..

mengharapkan pertolongannya...

memohon keampunan darinya...

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami! Jangan bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana Engkau telah bebankan orang-orang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak terdaya kami memikulnya.Dan maafkan kesalahan kami serta ampunkan dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yg kafir."
( Surah Al-Baqarah, ayat 286)

Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155.)

dipetik dari Buletin Nuha-friendster rabu, 6 Mei, 2009