Tuesday, November 23, 2010

Assalamualaikum, As Salam, Walaikumussalam...




Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)". Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).
QS. az-Zukhruf (43) : 89

السلاما=keamanan.....

baik gunakan ASSALAMUALAIKUM or ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAHIWABARAKATUH...


Pagi semalam saya dengar radio ikim (91.50 fm). Ustaz Zawawi ada cerita tentang sunnah Rasulallah s.a.w. Antara yang dibincangkannya ialah tentang bab cara memberi salam.

Menurut ustaz Zawawi Yusof, Baginda SAW memberi salam dengan lafaz “Assalamualaikum” dan menjawab salam dari para sahabat baginda dengan salam yang lengkap iaitu “Waalaikumussalam warahmatulallahhi wabarakatuh”

Ringkasnya, baginda SAW akan ;Beri salam dengan ucapan - “Assalamualaikum” dan…Jawab salam - “Waalaikumussalam warahmatulallahi wabarakatuh”

Lagi satu, perlu diingatkan juga semasa menjawab salam, saya dengar ramai orang jawab salam dengan ucapan yang tidak tepat.

Jawab salam yang betul ialah ;
“WAALAI KUMUS SALAM” dan bukannya yang selalu saya dengar iaitu “WAALAI KUM SALAM”

Apabila kita ingin berkirim salam pada orang lain, hendaklah kita berkata
“Kirim salam, assalamualaikum pada ZIZAH ye” contoh lerr…

Dan bukannya : “Kirim salam kat ZIZAH yer”

Dan jangan pula memandai-mandai tambah perkataan seperti ” Ko tolong kirim salam maut kat dia yer“.

Statement ini walaupun dalam nada bergurau, tapi ia adalah menyalahi syariat dan berdosa, walaupun sekadar gurauan!

Selain itu, janganlah kita menggantikan perkataan “Assalamualaikum” dengan “A’kum” dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan.

Jika perkataan “Assalamualaikum” itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “As Salam” yang membawa maksud sama dengan “Assalamualaikum”.

Sesama lah kita memberitahu member-member yang selalu sangat guna shortform “A’kum” dalam sms ataupun email. Perkataan ‘AKUM‘ adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud ‘BINATANG‘ dalam Bahasa Ibrani.

Ia singkatan daripada perkataan ‘Avde Kokhavim U Mazzalot’ yang bermaksud ‘HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT‘.

Jadi, mulai sekarang jika ada orang hantar shortform “A’kum“, kita ingatkan dia guna “As Salam” kerana salam ialah dari perkataan “Assalamualaikum“.

sumber: http://pakarhowto.com/cara-bagaimana/cara-betul-memberi-salam.html

Sunday, November 21, 2010

Sesat Walaupun Di Jalan Yang Lurus

Ahli Jemaah masjid telah menunggu hampir setengah jam. Penceramah yang dijemput masih belum tiba. Anak-anak di ruang masjid telah mula membuat bising. Suasana yang sedia panas meresahkan lagi orang-orang tua yang terus menunggu dengan setia. Menunggu lama untuk mendengar ceramah agama akan mendapat pahala, begitulah agaknya pujuk hati mereka.

“Ustaz ini memang begitu. Selalu lewat,” bisik seorang ahli kariah di sebelah saya.

“Minggu dulu pun macam ni,” balas orang di sebelahnya.

“Tak mengapa. Ceramahnya semangat. Sedap didengar,” pintas seorang lagi. Saya hanya mendengar, walaupun dalam hati sudah berkira-kira untuk meninggalkan majlis. Ia telah memakan masa yang diperuntukkan. Masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan menunggu giliran.

Hampir 40 minit kemudian baru penceramah datang, lengkap dengan jubah dan serbannya. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia memperkatakan tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah. Saya mendengar sambil mencatat. Cuba menenangkan hati walaupun hati masih tertanya-tanya mengapa sunnah Rasulullah s.a.w dalam menepati janjinya dan menjaga masa tidak disentuh sekali.

Terbayang urutan sejarah bagaimana rasulullah s.a.w sentiasa datang awal ke Masjidil Haram sehingga baginda dilantik menjadi hakim untuk meletakkan ‘Hajarul Aswad’ yang gugur dari tempatnya dalam peristiwa banjir yang melanda kota Mekah. Begitu juga dengan insiden bagaimana Rasulullah menunggu hampir 3 kali seorang yang berjanji bertemu dengannya tetapi tidak datang. Rasulullah sangat menepati masa dan alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Nampak lebih sempurna dan indah.

Saya benar-benar skeptis dengan lambang-lambang agama yang kosong makna. Elok juga sunah yang hendak diamalkan disusun mengikut prioriti amal (‘aulawiyat’). Ini kerana ada orang yang sangat menitik-beratkan soal kurang utama dengan meninggalkan soal yang lebih utama.

Bukan sahaja di tempat kita tetapi nun di Mekah sekalipun betapa ramai yang bertolak-tolakan (kekadang sehingga ke peringkat berkelahi) sewaktu ingin melaksanakan ibadat sunat mencium Hajarul aswad. Sedangkan persaudaraan itu lebih wajib dipertahankan berbanding amalan sunat (mencium Hajarul Aswad).

Ya, saya tidak nafikan sudah dalam berpakaian. Serban dan jubah, memang pakaian sunah. Namun kekadang orang hanya mempertahankan bentuk pakaian, tetapi tidak sunah kebersihannya. Akhirnya, masyarakat yang tidak faham mengutuk jubah dan serban yang disinonimkan dengan bau hapak dan kotor. Begitu juga sunah janggut dan misai, ada yang benar-benar iltizam membelanya tetapi kurang terurus. Tidak dirapikan apalagi disisir dengan sebaik-baiknya.

Saya pernah bertemu dengan seorang yang sangat cerewet dengan persoalan tajwid. Sering dia mufaraqah dalam solat berjemaah kerana dakwanya Imam tidak betul bacaan fatehahnya.

“Dadnya kurang tebal,” komennya satu ketika.

“Ronya tidak sempurna,” ulasannya pada satu ketika yang lain.

Begitulah, ada sahaja yang tidak kena dalam bacaan tajwid orang lain. Dia begitu teliti hampir-hampir ke arah cerewet. Namun, sayang seribu kali sayang… anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Anak-anak perempuannya selamba sahaja keluar rumah dengan pakaian yang terdedah, tidak pula mendapat teguran daripadanya. Dia begitu teliti tentang hukum bacaan, tetapi tidak teliti pula dalam hukum amalan.

Di satu ketika saya pernah bertemu dengan seorang yang dianggap intelektual Islam – pakar dalam istilah, bahasa dan nahu sekali gus pakar epistemologi. Pantang tersalah istilah atau huraian, dia akan menerangkannya secara terperinci. Kagum saya melihat kepintaran dan komitmennya. Tetapi saya sedikit kecewa kerana satu ketika saya dapati dia begitu longgar dalam memilih makanan yang halal.

Sewaktu heboh orang membincangkan soal logo halal dan makanan yang haram, beliau sebaliknya selamba makan di restoran-restoran yang meragukan.

“Tuan, kita patut berhati-hati.” Pernah saya mengingatkan.

“Jangan terlalu teliti. Tak merasa kita nanti.”

Saya benar-benar terkejut. Mana ketelitiannya tentang bahasa serta istilah yang ingin dipertuturkan sewaktu memilih makanan yang hendak dimasukkan ke dalam perut? Padahal Rasulullah saw seorang yang sangat fasih balaghahnya tetapi baginda juga sangat teliti dalam memilih makanan. Pernah baginda melarang cucunya memakan kurma yang disedekahkan kerana keluarga tidak boleh makan makanan sedekah. Bahkan Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan kembali susu yang diperoleh daripada sumber yang diragukan.

Saya masih ingat apa yang terjadi dalam majlis sambutan Maulid Nabi beberapa tahun yang lalu. Semua penceramah menekankan betapa pentingnya mengikut sunah Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan. Saya melihat sendiri betapa semangatnya peserta yang mendengarnya. Mengangguk-angguk, menangis dan ketawa dengan alunan kata dan intonasi suara penceramah yang terkenal.

Namun sayang sebalik sahaja selesai majlis Maulid itu sampah-sampah dan bekas minuman air serta botol-botol plastik berserakan. Hati saya jadi tertanya-tanya, di manakah sunnah Rasulullah saw yang sangat menjaga kebersihan itu kita letakkan? Ke mana perginya semangat yang meluap-luap ketika melaungkan selawat tadi?

Mengapa tidak semangat itu diterjemahkan ke dalam bentuk realiti yakni dengan membuang sampah dan sisa minuman serta makanan ke dalam tong sampah yang disediakan. Bukan kebersihan itu pernah ditegaskan oleh Rasulullah saw sebagai sebahagian daripada keimanan?

Pernah juga saya bertemu dengan seorang usahawan yang begitu mengagumi Rasulullah saw dalam bidang keusahawanan. Segala yang tersurat dan tersirat tentang sifat keusahawanan Rasulullah saw dibongkarnya.

“Bagindalah aspirasi dan inspirasi saya dalam bidang perniagaan.”

“Bila saya memberi motivasi kepada anak-anak remaja dan pelajar-pelajar yang berminat dalam perniagaan tidak lain, hanya Rasulullah s.a.w sahaja yang saya tonjolkan sebagai rol model.”

Saya begitu mengaguminya sehinggalah semasa bermusafir bersamanya saya lihat dia begitu culas dengan solat. “Kita perlu berhenti untuk solat jamak qasar,” pinta saya.

“Tak boleh qada sahaja ke?” balasnya.

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Lupa agaknya dia tentang sunah Rasulullah yang begitu ‘punctual’ dalam menjaga waktu solat. Agaknya dia terlalu asyik meneliti sunah Rasulullah saw dalam bidang ekonomi terlupa persoalan asas dan teras dalam Islam yakni solat.

Bukan sahaja lewat solat, tetapi tidak solat. Ya, sunah dalam perniagaan memang diikutnya, tetapi bagaimana sunah dalam menjaga solat? Ini mengingatkan saya kepada kecenderungan masyarakat yang melihat Islam pada nilai ekonomi (muamalat) dan aspek nikah kahwin (munakahat) sahaja tetapi lupa pada soal ibadat dan jinayat (perundangan).

Sahabat saya pernah bercerita tentang seorang kenalannya yang kuat berzikir, lemah lembut tutur katanya.

“Dia betul-betul lemah-lembut dan kuat berzikir.”

“Baguslah kalau begitu. Apa masalahnya?’

“Masalahnya, apabila dia memandu. Lajunya macam pelesit. Menggeletar aku dibuatnya. Dia berkata orang yang ingat Allah, tidak takut mati!”

Saya tersenyum. Memandu melebihi had laju sepakat para ulama mengatakan bahawa itu satu dosa. Jadi, itu bukan sunah. Berani mati di jalan yang lurus (di lebuh raya) amat beza dengan berani mati ‘di jalan’ yang lurus (mati syahid, mati dalam iman dan ibadah kepada Allah). Sunah berzikir dan bertutur dengan lemah-lembut memang baik, tetapi jangan abaikan keselamatan nyawa sendiri dan orang lain ketika memandu kereta.

Ada pula lelaki hidung belang yang beria-ia hendak berpoligami kononnya untuk mengikuti sunah nabi, tetapi isteri masing-masing membuka tembelang perangai mereka yang tidak solat, tidak mendidik anak-anak, kasar, pemarah dan culas dalam memberi nafkah serta mendidik anak-anak.

Semua kisah di atas saya paparkan sebagai peringatan bersama tentang betapa lemahnya kita dalam mengikut sunah Rasululllah saw. Kita cenderung melihat di sudut-sudut tertentu yang kita sendiri punya kepentingan. Al Hasil, sering kali kita dapati dorongan memakan makanan sunah lebih hebat diuar-uarkan berbanding dengan mengajak melaksanakan sunah-sunah yang lebih besar dan afdal.

“Ayah, jika minum susu kambing kita boleh jadi baik. Ini minuman sunah.”

“Tapi jangan hanya ikut sunah minum susu kambing sahaja, ikut sunah yang lebih utama daripada itu, “ balas saya.

“Apa dia?”

“Bangun solat Subuh, tinggalkan perkara yang sia-sia.”

“Makan kismis ini yang didoakan ini bagus ayah. Fikiran kita jadi tajam. Ini juga makanan sunah.”

“Ya. Tetapi berusaha menelaah pelajaran dan memberi tumpuan ketika belajar adalah lebih sunah.”

Anak saya terdiam. Sikapnya memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada as sunah saya perbetulkan. Memang untuk beramal, kita boleh pilih yang mudah-mudah dan senang-senang dahulu tetapi kita mesti tahu dan berusaha untuk mengamalkan yang lebih utama. Mana yang ‘sesuai’ dengan selera dan kecenderungan kita, itu yang diutamakan. Manakala yang perlukan kita bersusah payah serta mujahadah kita pinggirkan… seolah-olah itu bukan sunah.

Minum susu kambing misalnya memang sunah, ya itu ada kesannya dalam pembentukan peribadi kita,namun tentulah meninggalkan mengumpat dan memfitnah, bermujahadah melawan nafsu, membaca Al Quran dan mendirikan solat lebih utama dalam usaha kita untuk memperbaiki diri. Ya, tidak ada salahnya menguar-uarkanlah makanan sunah yang boleh membentuk hati dan peribadi, tetapi jangan terlupa aspek-aspek lain yang jauh lebih penting seperti menjaga pergaulan, mengamalkan cara hidup bersandarkan syariat dan lain-lain.

Jadi, persoalannya betapa ramai orang yang mendakwa dan merasakan dia telah mengikut sunah padahal apa yang sebenarnya diikutinya hanyalah hawa nafsu sendiri? Inilah gara-gara tidak tulus mengikut jalan yang lurus!

petikan genta rasa



sumber: Mohamad Fitri, Facebook
http://www.facebook.com/home.php?sk=group_119702864758570#!/?sk=messages&tid=1455963804871