Saturday, January 15, 2011
Lazatkah Maksiat?
Kehidupan seharian kita tidak akan lari daripada dua perkara, sama ada berada dalam maksiat atau taat.
Apabila Rasullulah s.a.w menyebut "halawah-al-iman" (kemanisan iman), fahamlah kita bahawa iman itu manis. Taat kepada Allah itu manis. Membaca Al-Quran, solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, qiamullail dan sebagainya, semua itu manis.
Namun, kenapa sukar benar merasai kemanisan ini?
Mungkin kerana hati kita sedang berlazat-lazat dengan maksiat hinggakan maksiat itu terasa manis. Maka, hilanglah lazat dalam ketaatan. Bahkan ketaatan terasa tawar dan pahit. Taat dan maksiat takkan bertemu dalam situasi hati yang sama.
Persoalannya, lazat sangatkah maksiat sehingga kebanyakan kita lebih sanggup memilih maksiat berbanding taat? Terlalu banyak akibat maksiat yang akan menekan kita setelah melakukannya.
Tika itu, masih lazatkah jiwa? Mari kita telusuri beberapa akibat maksiat.
01.Tidak Memberi Cahaya dalam Hidup
Usia remaja seharusnya difokuskan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu bersungguh-sungguh. Seterusnya proses menuntut ilmu itu berterusan sehingga ke liang lahad.
Namun, jika hidup disibukkan dengan maksiat, masih adakah ruang untuk ilmu melekat?
Mungkin ada yang keliru, "Kenapa ada kawan saya ni, Nampak enjoy je selalu, tapi bila peperiksaan dapat cemerlang juga?"
Banyak tafsiran yang boleh dibuat daripada situasi ini.
Remaja itu mungkin tidak nampak bila kawannya belajar. Menjadi sunnatullah, sesiapa yang berusaha dia akan dapat.
Walaubagaimanapun, sesiapa yang berusaha mendapatkan ilmu dalam keadaan dia bergelumang maksiat, ilmu itu tidak akan memberi cahaya dalam hidupnya untuk mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah sama ada di dunia ataupun akhirat.
Kalau begitu pun kawannya cemerlang tanpa belajar malah sibuk dengan maksiat lagi, maka haruslah difahami bahawa itu nasibnya ketika itu sahaja. Sikap itu tidak akan menjamin kejayaannya pada masa-masa akan datang.
Sijil yang bakal digenggamnya hanya melambangkan ilmunya sekadar teori tanpa kualiti. Tidak akan ada berkat. Tidak akan ke mana-mana.
Jadi kenapa remaja harus memilih untuk meniru maksiatnya? Apakah perlu untuk cemerlang sepertinya dengan melakukan maksiat? Sah, kena tipu dek syaitan!
Imam al-Syafi' pernah mengadu kepada gurunya Waki' mengenai hafalannya yang terjejas. Waki' lantas menasihatkannya, "Tinggalkan maksiat."
02.Disempitkan Hidup
Sama ada kita kaya atau miskin, jika kita suka berlazat dengan maksiat, hidup akan terasa sempit.
Wahai remaja, adakah anda melihat seorang pemimpin berwibawa yang skandal seksnya terbongkar itu tenang hidupnya?
Adakah si miskin yang mencari rezeki dengan mencuri itu tenang hidupnya?
Adakah artis terkenal yang bebas berkepit dengan mana-mana pasangan itu tenang hidupnya?
Tidak! Tidak! Jiwa mereka akan jatuh miskin kerana maksiat. Jiwa mereka gersang. Yang ada hanyalah kerisauan dan kesepian hati.
Jika tujuh gunung emas dibentangkan di hadapannya, ia takkan mampu menjadi penawar terhadap kebimbangannya akibat daripada maksiat.
Bukan sahaja Allah akan menghukum, malah di dunia lagi masyarakat akan menghukumnya. Tekanan akan lebih membunuh jiwanya apabila ditikam perasaan terasing.
Lebih-lebih lagi apabila keluarga dan rakan baik mula menjauhkan diri darinya. Dia tentu bertambah sukar menghindari maksiat malah mungkin mencari penyelesaiannya dengan maksiat baru pula.
Maksiat itu bukan sahaja menyempitkan jiwa malah menyempitkan harta. Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya seseorang hamba tidak akan mendapat rezeki kerana dosa yang dilakukannya."
Jelas ketaatan itu melimpahkan kekayaan, sebaliknya maksiat mendorong kepada kefakiran jiwa dan harta. Bukan itu sahaja, penggemar maksiat akan menemui kesulitan dalam urusannya dan jalan buntu dalam banyak perkara.
03.Melemahkan Hati dan Badan
Kekuatan Mukmin adalah pada hatinya. Ia raja kepada anggota badan. Apabila hatinya kuat, maka anggotanya kuat dan tindakannya juga bermanfaat.
Ahli maksiat, biarpun badannya kuat tetapi hatinya lemah dan sentiasa gelisah. Bayangkan kekuatan orang Parsi dan Rumawi yang tamadunnya sangat pesat dan memiliki kekuatan perang yang lengkap namun dapat ditundukkan oleh generasi para sahabat yang lebih kuat hatinya.
Abdulah bin Abbas berkata: ''Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya'' .
Paling menakutkan, ahli maksiat akan dihukum Allah dalam bentuk lemah anggota badannya untuk melaksanakan ketaatan, terputus jalan-jalan kebaikan baginya dan kemudian mati dalam kemaksiatan. Sewaktu dibangkitkan kelak, diri pasti mengeluh kesal.
"Aduhai, sekiranya dulu aku berbuat sesuatu untuk hidupku sekarang ini"
(surah al-Fajr 89:24).
Sama-sama kita muhasabah semula diri kita. Lihat sejauh mana kemaksiatan dalam diri yang masih menghalang dari kita untuk mendapat keberkatan dalam diri. Wallahua'lam.
sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/1446-lazatkah-maksiat.html
p/s: Sesungguhnya kita takkan dapat lari dari melakukan maksiat. yg penting kita sentiasa cuba menjauhinya. semoga Allah sentiasa bersama kita...
kaitan:
dakwah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment